Seminar Bahasa

Pada Sabtu bersamaan 21 Mac 2009, satu seminar bahasa telah diadakan di Auditorium Utama UPSI. Seminar ini telah dianjurkan oleh Puan Norliza Jamaluddin dan En. Samsudi Suhaili dari Fakuiti Bahasa. Seminar bahasa ini menampilkan seorang pakar bahasa Melayu yang cukup tersohor di Malaysia iaitu Yang Berbahagia Prof Emeritus Datuk Nik Safiah Karim. Seminar ini diadakan bertujuan untuk memberi gambaran kepada mahasiswa terhadap peri pentingnya tatabahasa di sekolah selain menekankan kaedah pengajaran bahasa Melayu untuk bakal-bakal guru. Seminar yang dihadiri kira-kira 400 orang peserta termasuklah pelajar Ijazah Sarjana Muda, pelajar Sarjana dan pensyarah-pensyarah (Prof. Abdul Hamid Mahmod,En Idris Mohd Radzi,En Ariff Mohamad, En Razali Ayob, Dato' Rosli Saludin, dan ramai lagi).

Walaupun seminar ini hanyalah beberapa jam sahaja, namun input yang diperoleh amat berguna buat hari muka. Sesungguhnya, kerdipan dan kilauan mutiara tokoh bahasa yang bersinar di bumi Tanjong Malim walaupun seketika, kami sambut dengan bangganya. Insyallah kami akan mengundang Yg Berbahagia Prof untuk hadir sekali lagi.

anak haruan lima-lima,
mati ditimpa punggur berdaun;
budimu Prof. kami terima,
jadi ingatan bertahun-tahun.
terima kasih kerana sudi membaca