keprihatinan bahasa

KESALAHAN FRASA SENDI NAMA

1.0 PENGENALAN
Dalam kehidupan harian, kesalahan bahasa tidak dapat dielakkan. Sebagai contohnya terdapat pelbagai kesalahan bahasa yang sering dilakukan khususnya dari aspek penggunaan frasa sendi nama. Kesalahan dalam penggunaan frasa sendi nama berlaku kerana kekurangan fahaman dan prihatin masyarakat terhadap konsep dan binaan frasa tersebut. Jika ditinjau pada masa kini, kesalahan dalam penggunaan frasa sendi nama amat meluas sama ada dalam melalui media elektronik atau pun media cetak. Sebagai contoh penggunaan frasa sendi nama secara lewah seperti demi untuk, sejak dari saat, dan banyak lagi sering kita dengar dan baca.

2.0 KONSEP FRASA SENDI NAMA
Frasa sendi nama dikenali sebagai frasa eksosentrik yang bermaksud frasa yang tidak mempunyai satu unsur inti yang dapat mewakili keseluruhan frasanya. Ironinya, frasa sendi nama mengandungi dua unsur wajib, iaitu kata sendi nama dan diikuti oleh kata nama atau frasa nama, contohnya di Kaabah dan di hadapan Kaabah.

Frasa adalah unsur kedua terbesar di dalam ayat. Frasa sekurang-kurangnya terdiri daripada dua perkataan yang letaknya berturutan tetapi tidak mempunyai subjek dan predikat (Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam 2000:212).

Frasa sendi nama pula bermaksud frasa yang perkataan utamanya terdiri daripada satu kata sendi nama, diikuti oleh frasa yang menjadi pelengkap kepada kata sendi nama. Frasa sendi nama ialah satu daripada konstituen utama dalam binaan ayat (Nik Safiah Karim, 2003:556). Dengan kata lain, kata sendi digunakan sebelum frasa nama untuk membentuk frasa sendi. Frasa sendi juga berperanan sebagai predikat dan keterangan dalam ayat. Contoh frasa sendi nama adalah seperti jadual di bawah :


Subjek Predikat
Predikat (pelengkap) Keterangan
1 (a) Ulama itu
(b) Ulama itu dari Surabaya
datang -
dari Surabaya
2 (a) Negeri Melaka
(b) Negeri Melaka di selatan Semenanjung
terletak -
di selatan Semenanjung

Dapatlah disimpulkan bahawa frasa sendi nama juga bukan sahaja boleh berada diposisi predikat tetapi frasa sendi nama juga boleh wujud sebagai pelengkap atau keterangan dalam sesuatu ayat.

3.0 BINAAN FRASA SENDI NAMA
Menurut Nik Safiah Karim (2004:401), frasa sendi nama dapat terbentuk melalui salah satu daripada 3 binaan seperti kata sendi nama + frasa nama, kata sendi nama + kata nama arah + frasa nama, dan kata sendi nama + (kata nama arah) + frasa nama + (frasa keterangan). Walau bagaimanapun, menurut Abdullah Hassan (1993:182), terdapat satu lagi pola dalam binaan frasa sendi nama iaitu sendi nama dengan kata nama dengan frasa nama dan pelengkap.

3.1 Kata Sendi Nama + Frasa Nama
Kata sendi nama hadir sebagai perkataan di hadapan frasa nama. Binaan ini
biasanya berperanan menjadi predikat dalam sesuatu ayat. Contohnya:

Frasa sendi nama
Kata sendi nama Frasa Nama
3) dari Sekolah Bukit Baru
4) ke Masjid Tanah

Menurut Ahmad Khair Mohd Nor (2003:64), binaan kata sendi nama + frasa nama yang bertugas sebagai predikat boleh ditambah kata bantu untuk memberikan keterangan kepada frasa sendi nama. Kadangkalanya pula lebih satu kata bantu boleh ditambahkan pada frasa nama tersebut. Contohnya:
5) (a) Johari ke masjid
(b) Johari akan ke masjid
(c) Johari sudah ke masjid
(d) Johari mungkin ke masjid
(e) Johari belum pernah ke masjid
(f) Johari memang belum pernah ke masjid

3.2 Kata Sendi Nama + Kata Nama Arah + Frasa Nama
Kata sendi nama bergabung dengan kata nama arah seperti sana, sini, belakang,
hadapan dan sebagainya untuk membentuk frasa sendi nama.
Kata Sendi Nama Frasa Nama
Kata Nama Arah Frasa Nama
6)(a) di
(b) di hujung
- rumah
rumah
7)(a) untuk
(b) untuk dalam
- universiti
universiti

3.3 Kata Sendi Nama + (Kata Nama Arah) + Frasa Nama + (Frasa Keterangan)
Binaan frasa sendi nama juga terbentuk apabila frasa nama yang menjadi
pelengkap kepada kata sendi nama itu diikuti keterangan.
Frasa Sendi Nama
Kata Sendi Nama Frasa Nama Keterangan
Kata Nama Arah Frasa Nama
8) (a) ke
(b) ke
(c) ke
(d) ke dalam
dalam
-
- gua
gua
gua
gua pada waktu malam
-
pada waktu malam
-


3.4 Sendi nama dengan kata nama arah dengan frasa nama dan ayat pelengkap.
Menurut Abdullah Hassan (1993:180), frasa nama terbentuk daripada kata sendi
nama diikuti kata nama arah, frasa nama dan pelengkap.
Frasa Sendi Nama
Kata Sendi Nama Frasa Nama Pelengkap
Kata Nama Arah Frasa Nama
9) ke
10) di luar
tepi bandar
sungai untuk mencari pekerjaan
bagi menjemu ikan






4.0 KESALAHAN FRASA SENDI NAMA
Jika diteliti dalam kehidupan seharian, terdapat pelbagai kesalahan bahasa dalam bentuk tulisan mahupun secara lisan. Oleh itu, pada kesempatan ini akan disenaraikan beberapa contoh kesalahan penggunaan frasa sendi nama yang sering dilakukan.

4.1 Kata sendi nama pada unsur yang kedua tidak boleh digugurkan dalam frasa sendi
nama setara yang tidak menggunakan kata hubung.
11) (a) Ia berjalan ke hulu ke hilir.
(b) *Ia berjalan ke hulu hilir.
12) (a) Kamal berjalan dari pekan ke rumah.
(b) *Kamal berjalan dari pekan rumah.
Dalam ayat 11(b) dan 12(b) menjadi tidak gramatis dari segi frasa sendi nama kerana
unsur yang kedua digugurkan yang tidak menggunakan kata hubung. Oleh itu, ayat 11(a)
dan 12(a) dikatakan gramatis kerana mempunyai frasa sendi nama setara yang
menunjukkan sesuatu pergerakan atau ruang masa dan tempat



4.2 Predikat ayat yang terdiri daripada kata kerja tak transitif atau adjektif yang
hendak diluaskan, maka penggunaan frasa sendi nama perlu digunakan.
13) (a) Hafiz rindu akan kampung halaman.
(b) *Hafiz rindu kampung halaman.
14) (a) Para pelajar sekolah St. David itu bergegas bertemu dengan
pengetuanya.
(b) *Para pelajar sekolah St. David itu bergegas bertemu pengetuanya.

4.3 Ada kata kerja tak transitif dan adjektif yang disertai kata sendi yang dapat
ditukar bentuknya menjadi kata karja transitif, misalnya
Kata Kerja Tak Transitif

menjadi Kata Kerja Transitif
berbincang tentang membincangkan
menang dalam memenangi
naik ke menaiki

Adjektif

menjadi Kata Kerja Transitif
hormat akan menghormati
benci akan membenci
setuju tentang menyetujui

Dalam penulisan, sekiranya memilih bentuk kata kerja transitif, maka tidak perlulah menggunakan kata sendi. Oleh itu, menjadi kesalahan dalam struktur tatabahasa sekiranya selepas kata kerja transitif disusuli kata sendi. Sebagai contoh,
15) (a) Budak kecil itu membincangkan rancangan masa cuti.
(b) *Budak kecil itu membincangkan tentang rancangan masa cuti.
16) (a) Kami memang memahami penderitaan hidup kalian.
(b) *Kami memang memahami tentang penderitaan hidup kalian.




4.4 Terdapat juga kesalahan dalam menggunakan akhiran –kan pada adjektif sebagai
ganti kata sendi. Sepatutnya selepas kata adjektif perlu disusuli dengan kata sendi ‘akan’.
17) (a) Julia cinta akan tanah airnya.
(b) *Julia cintakan tanah airnya.
18) (a) Salmah terlalu rindu akan anaknya di kampung.
(b) *Salmah terlalu rindukan anaknya di kampung.
Dalam ayat 17 dan 18 menunjukkan frasa sendi nama yang tepat digunakan sama ada rindukan atau rindu akan. Perkataan cintakan dan rindukan membawa makna kata kerja manakala cinta akan dan rindu akan dalam ayat 17(a) dan 18(a) ialah frasa sendi nama. Oleh yang demikian, ayat 17(b) dan 18 (b) adalah tidak tepat kerana menunjukkan kata kerja.

4.5 Terdapat juga penggunaan kata sendi secara berurutan. Ini menunjukkan
pertindanan kata sendi dalam sesuatu frasa sendi nama. Contohnya:
19) (a) Kita hendaklah belajar bersungguh demi membalas jasa ibu bapa.
(b) *Kita hendaklah belajar bersungguh demi/untuk untuk membalas jasa
ibu bapa.
Dalam ayat 19 (b), kesalahan penggunaan frasa sendi nama amat jelas kesalahannya. Perkataan demi sudah membawa maksud tujuan. Demi untuk dianggap lewah kerana perkataan demi untuk menunjukkan makna yang sama. Oleh itu, dalam pembinaan ayat pemilihan kata sendi nama boleh dipilih sama ada demi atau untuk.

4.6 Secara sedar atau pun tidak terdapat sesetengah orang menggunakan kata sendi
secara lewah yang tidak sepatutnya diperlukan. Contonya:
20) (a) Sejak saat itu, saya jarang sekali bercakap dengan Nizam.
(b) *Sejak dari saat itu, saya jarang sekali bercakap dengan Nizam.
21) (a) Rohani masih belum bertemu dengan ayahnya hingga hari ini.
(b) *Rohani masih belum bertemu dengan ayahnya hingga ke hari ini.



4.7 Dalam membentuk frasa nama yang gramatis, kata sendi nama tidak boleh berada
di awal ayat untuk membentuk sesuatu konsistuen. Hal ini demikian kerana ayat yang terhasil akan menjadi tergantung. Contohnya,
22) (a) Sekalian tetamu yang hadir, anda dijemput ke bilik pameran.
(b) *Kepada tetamu yang hadir, anda dijemput ke bilik pameran
23) (a) Negeri Johor yang banyak menghasilkan tempoyak.
(b) *Di Negeri Johor yang banyak menghasilkan tempoyak

4.8 Bagi kata sendi yang berawalan se- tidak boleh disertai kata sendi lain selepasnya.
Contohnya:
24) (a) Selain itu, dia berniaga secara kecil-kecilan.
(b) *Selain dari itu, dia berniaga secara kecil-kecilan
25) (a) Cita-cita Ali setinggi gunung.
(b) *Cita-cita Ali setinggi dengan gunung.

















5.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya dapatlah disimpulkan bahawa frasa sendi nama adalah elemen sintaksis yang penting dalam membina ayat agar lebih gramatis. Frasa sendi nama juga bukan hanya sekadar berperanan sebagai pelengkap bagi sesuatu ayat malah berperanan sebagai keterangan dalam menguntai sesuatu maksud dalam binaan suatu ayat. Frasa sendi nama turut berperanan sebagai penghubung beberapa ayat tunggal untuk membentuk satu ayat kompleks. Istilah frasa sendi nama yang dinyatakan oleh Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan sebenarnya adalah sama juga yang diperkatakan oleh tokoh-tokoh bahasa terdahulu seperti Za’ba, Arbak Othman dan Asmah Hj. Omar, cuma yang membezakannya adalah istilah yang digunakan. Istilah yang mereka gunakan ialah frasa depan atau frasa preposisi. Istilah frasa preposisi turut diguna pakai oleh ahli bahasa Indonesia dalam melihat dari sudut sintaksisnya contohnya dalam Tata Bahasa Baku Bahasa Indonesia oleh Anton M. Moeliono et. al.
terima kasih kerana sudi membaca