karya diriku

1.0 PENDAHULUAN

Cerpen “Bogunvila Emelda Suraya” merupakan satu hasil karya saya sendiri. Cerpen ini mengisahkan seorang pelajar perempuan Emelda Suraya yang dulunya ceria kini menjadi pasif di dalam kelas. Perubahan mendadak diri Emelda Suraya berpunca apabila Cikgu Manisah ditukarkan untuk mengajar di kelas 4 Alfa. Emelda merasakan bahawa dirinya makin dipinggirkan oleh Cikgu Manisah. Walau bagaimanapun, kasih sayang dan naluri seorang guru kepada pelajarnya serba sedikit membuatkan Cikgu Manisah masih mengambil berat tentang diri dan pelajaran Emelda melalui perantaraan Abang Azlan. Perkhabaran mengenai Emelda disalurkan oleh Abang Azlan kepada Cikgu Manisah. Konflik mula timbul apabila Cikgu Norita mula mengajar kelas 4 Delta bagi mengantikan Cikgu Manisah. Emelda sering kali dimarahi. Tubuh badan makin susut sehinggalah disahkan bahawa Emelda mengalami Luekimia. Kisah Emelda disudahi dengan pulangnya Emelda ke pangkuan pencipta yang maha Esa.

Hasil karya ini terhasil daripada gabung jalinan pengalaman lampau penulis semasa di bangku sekolah, keadaan sekitar keluarga serta situasi pendidikan pada zaman kini. Pengabungjalinan dua situasi ini telah menghasilkan satu cerpen yang mampu menarik minat untuk membacanya dalam kalangan para pelajar sekolah. Hal ini demikian kerana cerpen ini merupakan satu cerpen yang mudah difahami kerana elemen bahasa yang digunakan seperti laras bahasa, gaya bahasa, binaan plot dan watak perwatakan tidak begitu kompeks. Cerpen ini berbentuk kronologi turutan cerita yang mampu dingati dan dihayati oleh pelajar. Memandangkan dari aspek penggunaan bahasa yang mudah, cerpen ini sesuai dijadikan bahan pengajaran bahasa Melayu di peringkat menengah rendah khususya pelajar tingkatan 3. Cerpen ini sesuai dijadiakn bahan pengajaran bahasa Melayu kerana ini dapat meningkatkan minat pelajar untuk membaca dan mendalami nilai sastera dalam bahasa. Tanpa disedari kesan daripada ini, ia mampu untuk menigkatkan produktiviti dan kemahiran pelajar dalam berkarya dengan menggunakan bahasa yang indah dan puitis. Selain itu, cerpen ini mampu memberi panduan pelajar dalam menangani emosi apabila dilanda masalah lantas menghadkan emosi negatif serta meningkatkan hubungan santun dengan masyarakat lain.
2.0 KESELURUHAN KARYA

Bougunvilla Emelda Suraya
Oleh: Mohd Hairie Bin Abdullah (D20061025537)

Pagi itu tidaklah secerah hari-hari biasa. Gerimis kian membasahi bumi yang tandus. Burung-burung tidak lagi berkicauan riang. Mentari tidak munculkan diri. Begitulah rutin harian Emelda Suraya yang kini tidak selincah dahulu dan tak secantik bogunvila mekar memutih di pagi hari. Sejak kehilangan guru tersayang, Emelda Suraya menjadi semakin pendiam. Keriangan dan gelak tawanya makin pudar ibarat diragut seseorang. Mukanya pucat tiada seri. Badannya susut lesu-lesi.

“Mengapa cikgu kejam, apa salahnya kami?,” soal Emelda Suraya kepada Cikgu Manisah, guru Sejarah kelasnya.

“Eh, Emelda apa kena dengan kau ni?,” soal Nurul Nadia.

Suasana hingar dalam kelas mulai sepi. Rakan-rakan sekelas yang lain hanya mampu melihat dan kelu untuk berkata-kata tatkala melihat aksi Emelda Suraya dengan Cikgu Manisah.

“Cikgu, kenapa cikgu membisu, kenapa cikgu tidak menjawab apa salah kami?” lantang Emelda.

“Emelda, cikgu minta maaf. Ini arahan Puan pengetua,” jawab Cikgu Manisah dengan nada lembut.

Ah!, itu semuanya alasan sahaja. “Kami tahu, kami tidaklah sepandai pelajar 4 Alfa,” nada keseduan Emelda kian kedengaran.

Shafiqah yang berada di tepi Emelda cuba memujuk hati Emelda. “Dahlah, itukan sudah tersurat tugas sebagai seorang guru,” pujuk Shafiqah.

“Kau cakap senanglah, sebab kau tak pandai menilai, kau tak faham perasaan aku,” bentak Emelda lalu meninggalkan 4 Delta.

Pelajar-pelajar lelaki yang bising sejak tadi tergamam dan terpaku apabila melihat tindak-tanduk Emelda. Mereka seakan tidak percaya akan tindak-tanduknya itu kerana Emelda seorang perempuan yang lembut bahasanya. Namun inilah yang dikatakan tidakan luar kawal yang sukar diduga dan sukar dikawal.

“Nadia, cakap dengan Emelda cikgu minta maaf ya. Cikgu…”kata-kata cikgu Manisah terhenti.

“Saya faham cikgu,” jawab Nadia seakan mengerti.

“Bangun, terima kasih cikgu,” ucap Azmir ketua tingkatan 4 Delta. Cikgu Manisah mengangguk kepalanya lalu beredar dari kelas 4 Delta dengan langkah yang penuh rasa serba salah kerana gagal menerangkan situasi sebenarnya.

Keesokan harinya Emelda Suraya tidak hadir ke sekolah. Anak mata Cikgu Manisah melilau-lilau mencari kelibat bayangan Emelda Suraya.

“Nadia, kamu tahu mana Emelda?” soal cikgu Manisah dalam kehairanan.

“Dia demam panas cikgu,” balas Nadia.

“Emelda tak ada, kamikan ada, kami pun boleh buat lawak juga,” sampuk Shafiqah. Cikgu Manisah hanya mampu menguntumkan seukir senyuman hambar sahaja.

“Tahulah Emelda anak emas cikgu, tapi kami pun sayangkan cikgu juga,” pujuk Azmir ketua tingkatan 4 Delta.

“Dalam kelas ini semua cikgu sayang…,”kata-kata cikgu Manisah terhenti tatkala Suhaimi mencelah. “Tapi apa yang kami lihat cikgu lebih sayangkan Emelda daripada kami,”. Soalan itu seolah-olah memerangkap benak fikiran Cikgu Manisah. Cikgu Manisah mengangguk sedikit lalu tersenyum kecil. Cikgu Manisah mengeluarkan satu bungkusan berbalut rapi dengan corak Bogunvilla putih, bunga kesukaan Emelda daripada beg tangannya.

“Nadia, cikgu tahu kamu kawan baik Emelda, tolong serahkan bungkusan ini kepadanya,”. Nadia menyambut bungkusan itu daripada tangan cikgu Manisah dengan tertib. Cikgu Manisah berlalu keluar setelah tamat pengajarannya. “ Selamat tinggal 4 Delta, belajar rajin-rajin ya, cikgu yakin kamu semua boleh berjaya seperti orang lain,” luahan kata-kata terakhir cikgu Manisah sebelum menghayun kaki melangkah keluar dari 4 Delta dan akan mengajar di kelas 4 Alfa.

“Emelda, ini ada hadiah untuk kau,” hulur Nadia.

“Eh, hari ini bukan hari lahir aku, siapa yang bagi?,” soal Emelda keliru.

“Cikgu Manisah yang beri,” jawab Nadia. Emelda menerima huluran itu. Mukanya berubah pucat bagaikan enigma memukul emosi.

“Terima kasih Nadia”. Emelda berlalu pergi termanggu-manggu sendirian. Emelda membelek-belek bungkusan itu. Ia merasakan Cikgu Manisah masih mengetahui bahawa ia amat berminat dengan Bogunvilla putih. Ia merasakan bahawa Cikgu Manisah faham akan hati kecilnya. Lamunan Emelda terhenti tatkala terlihat sekeping kad ditampalkan di atas bungkusan yang dibungkus rapi itu. Emelda membuka kad itu lalu membaca isi kad tersebut.
“Cikgu minta maaf kalau-kalau kad ini melayangnya tak diundang. Emelda bagaimana? Sihat?. Rajin-rajin makan ubat. Emelda, cikgu minta maaf banyak-banyak. Cikgu tidak berpeluang untuk memberi penjelasan yang sebenarnya pada kamu. Tugasan guru ini bukannya mudah. Banyak rintangan dan cabaran yang perlu cikgu tempuhi dan harungi. Diharap hadiah buku rujukan Sejarah ini menjadi saksi dan bukti bahawa walaupun cikgu tidak lagi mengajar kamu tetapi cikgu tetap cikgu kamu Emelda. Emelda boleh datang ke rumah cikgu pada waktu petang dengan Nadia, Shafiqah dan lain-lainnya untuk belajar di rumah cikgu. Ketahuilah olehmu Emelda, cikgu sayangkan kamu. Salam sayang”. Cikgu Manisah. Surat itu dilipat kembali. Kekesalan mula menyelubungi Emelda Suraya.

Hari ini Emelda hadir ke sekolah dan hari inilah bermula episod baru hidup Emelda. Cikgu Manisah yang dikasihi tidak mengajar lagi. Tuk…tuk… dedaun pintu 4 Delta diketuk kedengaran. “Ini kelas 4 Delta ke? sekarang ni masa sejarah ke?,” tanya seorang perempuan muda bergaya berambut pendek paras bahu.

“Ya, ini kelas 4 Delta, sekarang ni masa sejarah,” balas Azmir ketua kelas 4 Delta.

“Baiklah nama saya Cikgu Norita. Cikgu akan mengajar kamu mata pelajaran Sejarah menggantikan Puan Manisah,” kata Puan Norita. “Awak, apa yang awak menungkan?,” soal cikgu Norita.

Lamunan Emelda terhenti. “Saya pening kepala cikgu,”jawab Emelda dengan nada lemah. Cikgu Norita menggelengkan kepalanya sambil membelek-belek buku ringkasan mengajarnya.

“Eh Emelda, kalau kau nak ubat aku ada,” tanya Mei Ling rakan sekelasnya.

“Alah aku tahu Emelda, kau ni bukan pening kepala tapi sedih bukan, sedih sebab yang ajar ni bukan Cikgu Manisah, bisik Nadia ke telinga Emelda. Perbualan kecil Nadia dengan Emelda terhenti tatkala bebola mata Cikgu Norita asyik memandang daripada tadi.

Hari demi hari berlalu, bunga bogunvilla putih makin layu kelopaknya. Demikianlah dengan sikap Emelda. Dahulunya periang kini pendiam. Emelda Suraya masih tidak percaya bahawa cikgu Manisah tidak mengajarnya lagi. Pagi tadi dia ternampak Cikgu Manisah masuk ke bilik pengetua.

“Puan, saya merayu pada puan, saya hendak mengajar 4 Delta kembali,” pujuk Cikgu Manisah kepada Puan pengetua.

“Saya minta maaf cikgu,” jawab pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru. “Awak mengajar 4 Delta untuk Emelda Surayakah?,” soal pengetua kembali.

“Memang saya sayangkan Emelda tapi saya ikhlas mengajar yang lain,” balas Cikgu Manisah bernada lembut dan sayu.

Pengetua tidak berkata sepatah pun. Ia hanya menggelengkan kepalanya tanda permohanan kembali Cikgu Manisah tertolak. Tanpa disedari mutiara putih mula mengalir dipipi ayu Cikgu Manisah segera disapu. Ketegasan tindakan puan pengetua seakan tidak mengerti akan hati kecil Cikgu Manisah.

“Terima kasih puan, saya minta diri dulu,”kata Cikgu Manisah.

Cikgu Manisah mula menghayun kaki melangkah keluar dari bilik pengetua. Emelda tercegat di luar bilik pengetua sambil mencuri-curi dengar perbualan itu.

Lamunan Emelda Suraya akan peristiwa pagi tadi terhenti apabila dedaun pintu kelasnya diketuk oleh Cikgu Nasir, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu.

“Siapa Emelda Suraya?,” tanya Cikgu Nasir.

Emelda berdiri. Dia berjalan lemah tidak bermaya. Suasana kelas menjadi kaku dan kelu seribu bahasa. Mereka tertanya-tanya antara satu sama lain apakah yang sebenarnya yang berlaku.

“Sila ikut saya ke bilik disiplin,” arah Cikgu Nasir. “Awak merokokkan pagi tadi dalam tandas?,” tanya Cikgu Nasir serius.

Emelda Sofea mengganguk pelahan.

“Kenapa awak merokok?,” tanya cikgu Nasir kembali. “Awak tak dengar ke apa saya tanya,” lantang Cikgu Nasir memecahkan kesunyian bilik disiplin itu.

Bebola mata Cikgu Nasir merenung tajam mata Emelda. Emelda hanya mampu menundukkan kepalanya. Cikgu Nasir menghulur surat gantung sekolah kepada Emelda atas kesalahanya. Kekesalan Emelda terpancar. Air matanya menitis membasahi pipinya. “Adakah ini sudah nasibku, kenapa semua orang tidak memahami perasaan ku, bukan kehendak ku untuk aku buat begini,” bisik hati kecil Emelda lalu melangkah lemah meninggalkan bilik disiplin itu. Apabila keluar dari bilik disiplin itu, Emelda terserempak dengan Cikgu Manisah. Dia segera mengesat air matanya lalu berlalu dari situ tanpa menegur Cikgu Manisah. Cikgu Manisah terus masuk ke bilik disiplin.

“Kenapa dengan Emelda tu Cikgu Nasir,” tanya Cikgu Manisah kehairanan.

“Emm…dia merokok dalam tandas pagi tadi,”jawab cikgu Nasir.

“Ya Allah, betul ke ni cikgu,” balas Cikgu Manisah dalam keadaan terkejut. “Kenapa dengan perubahan diri Emelda ni. Adakah ini semua adalah salah aku?” bisik hati cikgu Manisah yang cuba mencari-cari punca perubahan Emelda.

Kini sudah seminggu berlalu. Tempoh pengantungan sekolah telah berakhir. “Emelda, mari kita pergi ke rumah cikgu,” ajak Shafiqah. “Alah…marilah Emelda, sekurang-kurangnya dapatlah kita sedikit ilmu hari ini,” pelawa Shafiqah.

“Rumah cikgu Manisah tau,” sampuk Nadia yang dari tadi termanggu-manggu melihat laman rumah Emelda.

“Aku minta maaf, aku tak dapat ikut kamulah, aku ada urusan penting,” balas Emelda dengan lemahnya. Susuk tubuh Emelda kian hari kian lemah. Mukanya kian pucat.

“Engkau ni sihat tak, aku lihat sejak kebelakangan ini kau ni makin tak bermaya,” tanya Nadia sahabat baik Emelda.

“Kalau engkau tak sihat kami boleh temankan kau pergi ke klinik,” sambung Shafiqah.

“Terima kasih kawan-kawanku atas keprihatinan kalian, aku sihatlah, tak pelah kamu pergilah dahulu rumah cikgu dulu nanti tertunggu-tunggu pula cikgu Manisah,” hujah Emelda bernada lemah. Emelda tersenyum lembut seakan-akan cuba menyorokan sesuatu yang ditanggungnya. “Baiklah kami pergi dulu ya, kalau ada apa-apa masalah nanti hubungilah kami ya,” kata Nadia. Nadia, Shafiqah dan yang lain-lain beredar meninggalkan perkarangan rumah Emelda dan menuju terus ke rumah Cikgu Manisah.

Kringgg… pertukaran masa berlaku. Tap…tap…hentakan kasut cikgu Norita kedengaran menaiki tangga menuju ke kelas 4 Delta. Tidak semena-mena tanpa dirancang tanpa diduga, seluruh kelas terdiam. Terdiam ketakutan. Ketakutan menyelubungi fikiran. Ketegasan Cikgu Norita di dalam kelas seumpama harimau menerkam mangsa.

“Bangun, selamat pagi cikgu,” lantang Azmir mengetuai kelas 4 Delta.

Muka Cikgu Norita bengis dan masam hari ini. Di tangannya ada seikat kertas jawapan ujian yang lalu. “Baiklah kelas, hari ini saya hendak bagi kepada kamu kertas ujian kamu semua, lihat sendiri markah dan jawapan kamu,” kata Cikgu Norita. “Secara keseluruhannya baik, tetapi ada seorang pelajar yang gagal dalam ujian ini, kata Cikgu Norita. “Emelda Suraya! markah kamu yang paling rendah dalam kelas ini, kamu tak belajar ke? jawapan yang kamu berikan ini seolah-olah jawapan budak bodoh yang tak pernah diajar,” lantang Cikgu Norita.

Kesepian kelas 4 Delta mula kelihatan. Mereka saling berpandangan dan melihat ke arah Emelda. Mereka tidak percaya seolah-olah Emelda gagal. Emelda pandai. Emelda cerdik. Dia selalu dapat markah tertinggi dalam Sejarah. Persoalan itu menjadi bisikan kawan-kawannya seolah-olah tidak percaya dan tak mampu diterjemah dek akal. Emelda bangkit dari bangkunya. Dia hanya mampu menundukkan kepalanya tatkala dimarahi Cikgu Norita bertalu-talu ibarat bom serangan Amerika terhadap Iraq. Setelah tamat pengajaran kelas Sejarah Cikgu Norita meninggalkan kelas 4 Delta. Emelda hanya mampu duduk dan tunduk. Tanpa disedari titisan jernih membasahi pipinya.

“Dahlah Emelda, aku faham perasaan kau, engkau bukannya bodoh, cuma masa ujian hari itu kau tidak sihat,” pujuk Nadia sambil mengesatkan air mata sahabatnya itu.

Dalam pada itu kedengaran suara Lily menjerit memanggil Emelda. “Emelda, abang Azlan 5 Alfa panggil kau,” jerit Lily dari belakang.

Azlan tercegat menunggu di luar kelas. Emelda bingkas daripada tempat duduknya dan terus keluar bertemu abang Azlan.

“Wah! dalam sekelip mata sahaja ada penawar hati tika dirimu luka hadir,” usik Ramli bernada seloroh.

Emelda hanya tersenyum hambar.

“Maafkan abang menggangu, Emelda,” kata Azlan memulakan bicara.

Emelda hanya terpaku kaku. Lelaki yang menjadi pujaannya kini berada di hadapan mata.

“Emelda sibuk ke?,” tanya Azlan kembali memulakan perbualan. Emelda hanya mampu menggelengkan kepalanya sahaja. Emelda tunduk memandang lantai kerana malu. Perasaan malunya untuk menatap wajah abang Azlan membuak-buak. “Emelda, abang nak tanya sikit boleh tak,” Azlan bersuara kembali.

Matanya melilau-lilau melihat kehijauan pohon melambai di hadapan kelasnya. Udara bertiup sepoi-sepoi bahasa menambahkan perasaan malu dan segan Emelda untuk menatap wajah Azlan.

“Emelda masih lagi sayangkan cikgu Manisahkah?,” tanya Azlan. Emelda terperanjat. Mana mungkin kesnya dengan cikgu Manisah tersebar luas. Emelda menjeling manja ke arah abang Azlan.

“Abang faham perasaan Emelda, cikgu ni umpama mak kita, cikgu ni tak boleh dijual beli,” ujar abang Azlan.

“Apa maksud abang? Emelda tak mengerti,” soal Emelda. Azlan tersenyum kerana Emelda memberikan respon yang baik.

“Emelda tahu cikgu selalu menceritakan hal Emelda pada abang bukan?,”ujar Emelda.

“Emelda, abang nak berkawan dengan Emelda boleh tak?,” soal Azlan. Soalan ini memerangkap lubuk fikiran Emelda yang kadang kalanya diserang tebuan malu. Emelda terpaku. Akhirnya Emelda mengalah dengan renungan tajam abang Azlan. Semenjak dari saat itu hubungan antara Emelda dengan Azlan menjadi erat. Kini, segala nasihat dan teguran Azlan diterima oleh Emelda. Azlan tahu bahawa Emelda terlalu sayangkan Cikgu Manisah. Setiap kali mereka bertemu abang Azlan akan menceritakan perkembangan terbaru Cikgu Manisah kepada Emelda. Sejak itulah perasaan kerinduannya terhadap cikgu Manisah bertambah. Emelda kerap kali mencari-cari Cikgu Manisah. Tapi gagal. Hajatnya untuk bertemu dan memohon maaf dengan Cikgu Manisah sering kali terbantut.

Lapan bulan telah berlalu, wajah Emelda makin hari makin cengkung. Pelajarannya merosot. Kekusutan mula menyelubungi diri Emelda. Wajah Cikgu Manisah sering terbayang-bayang setiap kali waktu Sejarah. Minggu ini minggu peperiksaan. Hari ini ada kertas Sejarah Malaysia. Emelda mula melayangkan penanya dilembaran putih. Tatkala itu dia terlena.

“Eh, bangun! orang jawab soalan awak tidur, sudahlah selalu gagal, tak tahulah apalah nasib kamu lepas ini,” bising Cikgu Norita.

Entah mengapa pandangan matanya berbalam. Emelda jatuh dan pengsan. Sedar-sedar sahaja sudah berada di hospital. Katil Emelda dikelilingi Nadia, Shafiqah dan abang Azlan. Sebaik sahaja sedar mata Emelda tercari-cari. Mencari-cari Cikgu Manisah.

“Fiqah, Cikgu Manisah mana?,” soal Emelda lemah.

“Cikgu Manisah ada urusan rasmi sekolah,” celah abang Azlan.

“Kertas soalan sejarah tadi aku dah siapkan, cuma mata pandangan aku kabur,” bisik Emelda di telinga sahabatnya Nadia.

“Emelda kami keluar dulu ya, kau rehat-rehatlah dulu,” kata Nadia.

Nadia dan kawan-kawan yang lain melangkah keluar dari bilik rawatan Emelda. Sewaktu berada di luar bilik rawatan, Shafiqah ternampak kelibat doktor yang merawat Emelda menuju ke biliknya.
“Nadia, abang Lan, mari kita ke bilik doktor Roziman yang merawat Emelda, sekurang-kurangnya kita tahu apa sebenarnya sakit Emela,” kata Shafiqah.

Mereka bertiga menuju ke bilik doktor Roziman. Tuk…tuk… “Masuk” kata Dr. Roziman.

“Assalamualaikum Dr. Roziman, kami ni kawan kepada Emelda,” kata Shafiqah memulakan perbualan. “Kami ingin tahu apa sebenarnya masalah kesihatan Emelda doktor?, kami lihat mukanya makin hilang serinya, ujar Shafiqah lagi.

“Em…susah saya nak bagi tahu,” kata Dr. Roziman.

“Kenapa doktor?, sampuk abang Azlan. Emelda mengalami penyakit Luekimia. Kini keadaannya sudah kritikal. Menghitung hari membilang masa sahaja lagi,” ujar Dr. Roziman.

“Ya Allah, Fiqah,” jerit Nadia memecahkan kesunyian pagi di bilik Dr. Roziman.

Nadia dan Shafiqah berpelukan. Mereka berasa sedih sekali mendengar kenyataan daripada Dr. Roziman. Mereka hanya mampu mengalirkan air mata di selang selikan doa yang tak putus-putus agar Emelda pulih kembali.

Hari ini 29 MEI 2008. Hari ulang tahun Emelda Suraya ke-16. Ketika dan saat itulah Cigku Manisah menemani Emelda.

“Cikgu, saya nak minta hadiah boleh tak,” pinta Emelda kepada Cikgu Manisah.

Ketika dan saat itu berselirat wayar ditubuh Emelda Suraya. Ikutkan hati hendak saja dicabut-cabut oleh cikgu Manisah.

“Nak hadiah?. Apa dia?. Katakanlah, kalau boleh cikgu tunaikan, cikgu tunaikan ya sayang,” sambut cikgu Manisah bernada lembut.

“Cikgu kalau sudah ditakdirkan saya pergi, cikgu kirimkan al-fatihah ya, semoga roh saya harum mewangi bersama para solihin,”rayu Emelda tersekat-sekat.

Satu kuncupan sayang diberikan kepada Emelda Suraya. Emelda disayangi seperti anak sendiri. Emelda anak yatim piatu. Ibu bapanya terkorban dalam satu kemalangan setahun yang lalu setelah pulang bercuti bersama Emelda. Emelda terselamat. Namun, takdir telah menentukan segalanya, ibu bapanya tercinta telah pulang menghadap pencipta yang Maha Esa di saat Emelda masih memerlukan. Setahun Emelda rindu akan kuncupan mesra seorang ibu. Baru tika ini dia dapat walaupun di saat-saat matanya akan terpejam buat selamanya.

“Assalamualaikum,” sapa Cikgu Norita di balik dedaun pintu bilik rawatan Emelda.

Perbualan Emelda dengan cikgu Manisah terhenti tatkala melihat kehadiran Cikgu Norita. Emelda seakan tidak percaya akan kehadiran Cikgu Norita. Namun, sebagai seorang pelajar, Emelda menyambut kehadiran Cikgu Norita dengan seukir senyuman mesra.

“Boleh saya masuk,” tanya Cikgu Norita.

“Persilakanlah masuk cikgu,” balas Emelda tersenyum walaupun pada hakikatnya tubuhnya lemah tidak bermaya.

“Emelda, cikgu keluar dahulu, kamu berboraklah dengan Cikgu Norita ya,” kata Cikgu Manisah lalu meninggalkan Emelda berdua.

“Cikgu, maafkan saya cikgu, saya degil, saya malas, tapi saya dah cuba untuk lakukan yang terbaik sebab saya tak sanggup mendengar cikgu marahi saya lagi,” bisik Emelda lembut di telinga cikgu Norita.

Cikgu Norita bingkas bangun daripada tempat duduknya lalu keluar dari bilik rawatan Emelda. Air mata Cikgu Norita mengalir tatkala merasakan bahawa Emelda sayang akannya juga. Nadia, Shafiqah dan abang Azlan melangkah masuk ke bilik rawatan Emelda.

“Emelda, aku nak minta maaf kalau-kalau aku ada melakukan kesalahan yang menyakiti hati kau,” kata Shafiqah.

Nadia mula menangis teresak-esak tatkala teringat akan perkhabaran yang diberikan oleh doktor Roziman tadi. Dia seakan tidak percaya bahawa sahabatnya mengalami penderitaan yang mungkin menghitung maut saja lagi.

“Eh, kau ni Nadia, kenapa kau menangis? macam tak sabar-sabarnya nak tunggu aku mati,” seloroh Emelda menceriakan suasana suram di bilik rawatan. “Nadia, Shafiqah kalau sudah ditakdirkan aku pergi dulu, buatlah SPM elok-elok. “Kalau kamu berdua berjaya bawalah keputusan kamu ke pusara aku dan aku minta sedekahkanlah Al-Fatihah di kuburanku,”pinta Emelda Suraya.

Suara tangisan makin menyelubungi kesuraman bilik rawatan.

“Nadia, Shafiqah kamu boleh keluar sebentar tak, abang ada perkara nak dibincangkan dengan Emelda, kata abang Azlan.

Mereka berdua melangkah keluar meningalkan Emelda dengan abang Azlan agar meraka berdua dapat berkata-kata di saat cebisan masa yang tak seberapa ini.

“Emelda, abang nak nyanyikan sebuah lagu buat Emelda sempena hari ulang tahun Emelda yang ke-16, cuba teka lagu apa,” kata abang Azlan.

“Salam Terakhir?”.

“Sejak bila Emelda suka lagu itu,” tanya abang Azlan.

“Em…sejak…,”kata-kata Emelda terhenti tatkala air mata membasahi pipi.

Abang nak menyanyikan lagu “Merisik Khabar” buat Emelda Suraya,” terus Abang Azlan lagi. Terkapar-kaparku kelemasan, sakit dilambung ombak kerinduan, tiada salam, tiada pesan, memaksa diri untuk melupakan, namun wajahmu bermain di mataku tiap waktu, malam ku suram, siang ku kelam, ku kehilangan, mencari-cari ke mana pergi harga diri ini, bertanyakan berita merisik khabar, mendengar cerita melaluinya, kau ku hampiri tiap hari,…bersama luka di hati,” Azlan meneruskan lagu itu sehingga habis.

“Emelda, abang ingat cakap Emel, Emel sukakan lagu ini sebab Emel rindu sangat pada Cikgu Manisah. Dan abanglah penyampai ceritera rindu Emelda pada Cikgu Manisah yang sukar untuk digambarkan,” bisik abang Azlan ke telinga Emelda.

“Abang, Emel suka berkawan dengan abang, abang baik, selalu memberi semangat kepada Emel untuk berjaya, balas Emelda yang semakin lemah. “Abang, boleh panggilkan semua orang masuk. Emel dah mengantuk ni, pinta lemah Emelda Suraya.

Abang Azlan menurut permintaan Emelda. “Cikgu Manisah, ajarkan saya mengucap dua kalimah syahadah. Saya takut kalau-kalau saya tak mampu melihat terbit cahaya sirna mentari lagi,” pinta Emelda. “Sebelum itu, abang Azlan, SPM bulan 11 ni buat betul-betul ya,” pinta terakhir Emelda Suraya.

Setelah diajarkan mengucap dua kalimah syahadah, pandangan Emelda Suraya kabur dan lebur dari pandangan duniawi.

“Tidurlah Emelda, setenang wajahmu,” bisik Cikgu Manisah. Burung-burung berkicauan. Bogunvilla kembang harum mewangi. Perginya Emelda Suraya tiada pengganti. Sayang dan persahabatan itulah Emelda Suraya.

Dua bulan telah berlalu. Cikgu Manisah ke kubur Emelda Suraya. Sepotong ayat suci Al-Quran buat Emelda. Emelda telah lulus ujian Sejarah dengan mendapat markah sebanyak 89 peratus dan merupakan pelajar yang mendapat markah tertinggi.

“Emelda, sunyi hati cikgu, apabila Emel lenyap daripada pandangan mata cikgu. Emel, cikgu sayangkan Emel. Maafkan cikgu kerana melukakan hati nuranimu, sayang. Hadiah yang Emel mahukan itu cikgu kirimkan tiap hari agar ia subur mewangi disisi Emelda, tanda sayang cikgu pada kamu. Emel entah bila cikgu akan menemani kamu pula,” bisik hati kecil Cikgu Manisah sambil air matanya mengalir menahan sebak di dada yang sukar diterjemahkan. “Apa-apapun selagi sirna mentari mampu cikgu lihat, selagi itu utusan Al-fatihah pengikat rindu cigku pada Emelda tak akan putus,” janji cikgu Manisah. Semoga damailah EMELDA SURAYA di sana..









3.0 ANALISIS DAN ULASAN

1. Nilai-nilai
Dalam sesuatu karya, nilai menjadi elemen penting dalam melihat unsur-unsur yang baik yang boleh diteladani. Nilai-nilai murni yang terpapar dalam cerpen ini sesuai diterapkan dalam diri pelajar kerana situasi cerita mengambarkan suasana persekolahan.

i. Persahabatan
Nilai persahabatan ini dapat dilihat apabila Shafiqah sahabat baik Emelda berada disisinya untuk memujuk Emelda Suraya.
Contohnya;
Shafiqah yang berada di tepi Emelda cuba memujuk hati Emelda. “Dahlah, itukan sudah tersurat tugas sebagai seorang guru,” pujuk Shafiqah.

ii. Prihatin
Sikap keprihatinan terpancar dalam diri Cikgu Manisah apabila merasakan sesuatu perubahan dalam diri Emelda selepas peristiwa Cikgu Manisah mula mengajar 4 Delta.
Contohnya;
Keesokan harinya Emelda Suraya tidak hadir ke sekolah. Anak mata Cikgu Manisah melilau-lilau mencari kelibat bayangan Emelda Suraya.

iii. Menasihati
Sebagai seorang guru, Cikgu Manisah tetap menasihati pelajar-pelajarnya untuk berjaya.
Contohnya;
“Selamat tinggal 4 Delta, belajar rajin-rajin ya, cikgu yakin kamu semua boleh berjaya seperti orang lain,” …

iv. Kasih Sayang
Kasih Sayang Cikgu Manisah terhadap Emelda Suraya walaupun dia tidak lagi mengajar kelas 4 Delta.
Contohnya;
…cikgu sayangkan kamu. Salam sayang”. Cikgu Manisah.

v. Tolong menolong
Sikap kawan sekelas Emelda, Mei Ling, yang ingin membantu Emelda apabila melihat Emelda tidak sihat.
Contohnya;
“Eh Emelda, kalau kau nak ubat aku ada,” tanya Mei Ling rakan sekelasnya.

vi. Simpati
Nilai ini dipaparkan dalam kalangan kawan Emelda apabila mengetahui akan penyakit yang dihadapi oleh Emelda.
Contohnya;
Nadia dan Shafiqah berpelukan. Mereka berasa sedih sekali mendengar kenyataan daripada Dr. Roziman.

vii. Kenang Budi
Emelda mengenang budi Abang Azlan yang banyak memberi semangat kepada Emelda untuk terus berjaya.
Cotohnya;
“Abang, Emel suka berkawan dengan abang, abang baik, selalu memberi semangat kepada Emel untuk berjaya, balas Emelda yang semakin lemah.

viii. Berpegang janji
Cikgu Manisah berjanji akan sedekahkan al-fatihah kepada Emelda tanda sayangnya pada Emelda tidak berbelah bagi.
…janji cikgu Manisah.

ix. Ketekunan
Ketekunan Emelda untuk membuktikan bahawa dirinya boleh berjaya apabila ia mampu mendapat markah yang tinggi walaupun ia hanya berada di kelas yang belakang.
Contohnya;
Emelda telah lulus ujian Sejarah dengan mendapat markah sebanyak 89 peratus dan merupakan pelajar yang mendapat markah tertinggi

2. Kewajaran/Rasional
i. Bahasa
Cerpen yang dicadangkan dalam KOMSAS ini sesuai dijadikan sebagai bahan pengajaran di peringkat sekolah kerana bahasa yang digunak pakai adalah mudah difahami. Selain itu, teks cerpen ini tidak menggunakan atau mencampurkan kod istilah atau perkataan daripada bahasa asing.

ii. Tema
Menurut Nik Hasan Basri Nik Abd. Kadir (2007:388), gambaran tentang gagasan, fikiran, atau persoalan pokok yang menjadi tunjang dalam sesebuah cerita atau persoalan utama yang diutarakan atau dikemukakan oleh pengarang sesebuah karya ataupun isi atau inti pemikiran yang ingin disampaikan oleh penyair. Berdasarkan cerpen yang dipilih ini memaparkan tema kasih sayang dan hubungan erat antara guru dengan pelajar, dan hubungan rakan dengan rakan. Secara tidak langsung pengaplikasian cerpen ini ke sekolah-sekolah serba sedikit mampu memberi gambaran tentang situasi sebenar di sekolah yang baik boleh dicontohi dan yang buruk disempadani.




iii. Plot
Menurut Nik Hasan Basri Nik Abd. Kadir (2003:338), jalinan perkembangan atau pembinaan cerita atau rentetan peristiwa yang berdasarkan kepada sebab dan akibat. Cerpen ini sesuai dijadikan bahan pengajaran dalam subjek KOMSAS kerana cerpen ini menggunakan kaedah plot yang mudah difahami. Dalam cerpen ini binaan plot yang digunakan adalah ringkas dan tidak terlalu kompleks. Cerpen ini mempunyai permulaan seperti memperkenalkan secara ringkas tentang watak dan perwatakan. Pada peringkat konflik pula, cerpen ini memaparkan hubungan antara Cikgu Manisah dengan Emelda Suraya yang semakin bermasalah dan puncanya. Pada peringkat klimaks pula, berlaku perubahan pada diri Emelda. Pada peringkat peleraian pula, hubungan antara Cikgu Manisah dan Emelda Suraya menjadi sedia kala di saat-saat nafas terakhir Emelda Suraya. Dalam susunan plot pula, kaedah kronologi turutan cerita digunakan. Penggunaan kaedah ini dapat membentuk hasil cerpen yang mudah difahami berbanding teknik imbasan yang tidak kronologi yang menyukarkan para pelajar untuk memahaminya.

iv. Watak dan perwatakan
Menurut Nik Hasan Basri Nik Abd. Kadir (2003:398), watak ialah tokoh dalam cerita, pendukung atau pelakon yang memainkan peranan bagi menggerakkan atau menghidupkan sesebuah cerita dalam sesebuah karya atau teks kesusateraan manakala perwatakan ialah perihal tokoh dalam cerita atau pemerian watak dalam sesebuah karya. rasionalnya cerpen ini dipilih dalam teks KOMSAS kerana watak dan perwatakannya adalah berkisar kepada situasi di sekolah. Secara tidak langsung, watak dan perwatakan dalam cerpen ini mudah diingati selaras dengan aras pemikiran pelajar tahap sekolah. Nilai positif ketekunan dalam diri Emelda untuk berjaya walaupun berada di kelas tercorot serba sedikit mampu membuka mata dan minda pelajar yang membaca untuk mencontohinya.

v. Unsur Pengajaran
Nilai yang menyaran individu atau yang mengajar manusia supaya berbuat sesuatu yang baik, yang disenangi dan diterima oleh setiap anggota masyarakat dan agama dan meninggalkan apa saja yang bertentangan dengan kehendak masyarakat. Cerpen ini juga sesuai dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam KOMSAS kerana cerpen ini memaparkan realiti dalam dunia pendidikan lantas menjadikan cerpen ini sebagai wadah dan penggantara dalam penerapan nilai-nilai murni dan pengajaran dalam diri pelajar. Terdapat pelbagai nilai seperti ketekunan, kasih sayang, persahabatan dan lain-lain lagi yang boleh dijadikan contoh ikutan pelajar.

3. Kesesuaian dalam Pengajaran Bahasa Melayu
i. Penggunaan kosa kata
Kepelbagaian kosa kata digunakan bagi mengantikan perkataan yang biasa digunakan seperti mutiara putih (air mata), termanggu-manggu, enigma dan sebagainya. Secara tidak langsung ini dapat memberi penambahan kosa kata baharu yang boleh dipelajari dan diimplementasikan dalam penuliasan kreatif.

ii. Gaya bahasa
Cerpen ini dikatakan sesuai dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu kerana cerpen ini mengandungi kemurnian gaya bahasa dalam mewarnai cerpen ini. Secara tidak langsung, ini dapat memupuk minat pelajar dalam menghasilkan penulisan kreatif. Antara gaya bahasa yang digunakan dalam cerpen ini adalah seperti;


a) Simile
Menurut Nik Hasan Basri Nik Abd. Kadir (2003:365), perbandingan yang terus iaitu membandingkan dua hal yang yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Perumpamaan ini secara jelasnya mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan kata “sepert”, “laksana”, “bagai” dan sebagainya. Tujuan utamanya adalah untuk membandingkan sesuatu.
Contohnya,
Keriangan dan gelak tawanya makin pudar ibarat diragut seseorang.

b) Sinkof
Menurut Nik Hasan Basri Nik Abd. Kadir (2003:368), sejenis gaya bahasa penyirnaan, iaitu pengguguran huruf sisip atau suku kata sisip perkataan atau dengan menghilangkan huruf tengah atau suku kata tengah bagi perkataan; iaitu kata yang terhasil akibat penghilangan huruf atau suku kata.
Contohnya,
“Emelda tak ada, kamikan ada, kami pun boleh buat lawak juga,” sampuk Shafiqah.

c) Personafikasi
Menurut Nik Hasan Basri Nik Abd. Kadir (2003:331), gaya bahasa perbandingan iaitu penginsanan atau pemberian ciri-ciri peribadi orang atau sifat-sifat manusia kepada sesuatu benda, binatang, tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, barang yang tidak bernyawa, atau idea yang abstrak.
Contohnya,
Soalan itu seolah-olah memerangkap benak fikiran cikgu Manisah.


d) Anafora
Menurut Nik Hasan Basri Nik Abd. Kadir (2003:16), pengulangan perkataan pertama pada setiap baris atau setiap ayat yang biasanya secara berurutan supaya memperoleh kesan tertentu.
Contohnya,
Ia merasakan cikgu Manisah masih mengetahui bahawa ia amat berminat dengan Bogunvilla putih. Ia merasakan bahawa cikgu Manisah faham akan hati kecilnya.


3.0 PENUTUP

Daripada penelitian di atas, maka cerpen ini sesuai dijadikan sebagai bahan pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Melayu amnya dan KOMSAS khususnya. Dengan penerapan kepelbagaian unsur gaya bahasa, watak dan perwatakan, binaan plot, nilai dan pengajaran boleh dijadikan teladan dan panduan kerana peristiwa ini berkisar dalam dunia pendidikan khususnya di sekolah. Penggunaan istilah, gaya bahasa dan ayat yang digunakan mudah difahami lantas menjadikan cerpen ini sesuai dijadikan bahan pengajaran bacaan di sekolah kerana corak falsafah penulisan cerpen ini berada di tahap pemikiran peringkat sekolah. Cerpen ini dikatakan sesuai dijadikan bahan pengajaran dalam bahasa Melayu kerana cerpen ini lebih berlatarkan suasana di sekolah. Kewujudan latar sekolah sebagai latar utama dalam cerpen ini serba sedikit mampu memberi gambaran ringkas kepada pembaca khususnya pelajar sekolah. Ini kerana suasana di sekolah diinterpretasikan dalam bentuk cerpen yang mudah difahami.
terima kasih kerana sudi membaca