1.0 Pengenalan
Migrasi sering terjadi apabila berlakunya perpindahan masyarakat dari suatu kawasan ke satu kawasan yang lain bagi memenuhi keperluan hidup semasa. Aktiviti ini dapat dilihat apabila berlakunya peningkatan peratusan perpindahan masyarakat dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi di samping terdapat beberapa faktor sampingan yang lain. Segalanya telah bermula pada abad ke-19 yang merupakan titik tolak penting dalam lipatan sejarah di Tanah Melayu. Kedatangan penduduk imigran dari segenap pelusok dunia bersama-sama orang Melayu tempatan, telah membentuk dan mewarnai satu demensi baharu masyarakat di Tanah Melayu yang berbilang kaum, bahasa, adat dan budaya. Oleh yang demikian, hasil daripada penghijrahan daripada masyarakat luar telah membentuk satu asimilasi budaya dan sosio-politik masyarakat baharu dan kekal sehingga ke hari ini.
Pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19 aktiviti penghijrahan berlaku secara mendadak dengan bilangan yang ramai sehingga awal abad ke-20. Fenomena ini boleh dikaitkan dengan kedatangan British ke Negeri-Negeri Melayu sejak pengambilan Pulau Pinang (1786), Singapura (1819), Melaka (1824), Perak (1874) dan Negeri-Negeri Melayu yang lain pada tahun berikutnya . Kehadiran kuasa Eropah ke bumi melayu atas satu tujuan utama iaitu mencari kekayaan daripada hasil bumi yang tersedia ada. Atas dasar inilah mereka telah berusaha untuk meningkatkan kegiatan perlombongan bijih timah lantas menjalankan kegiatan sistem pertanian bercorak komersial. Terdapat banyak lombong bijih timah diusahakan dan ekonomi perladangan dikomersialkan seperti lada hitam, tebu, kopi, dan getah. Hasil daripada permintaan yang tinggi terhadap bijih timah dan hasil tanaman tersebut maka untuk menjayakan agenda yang dirancang oleh British ini sudah tentu tenaga buruh yang ramai dan murah diperlukan.
Ekoran daripada dasar pentadbiran British yang mahukan jumlah tenaga buruh yang ramai dan murah untuk mengusahakan lombong bijih timah dan ladang-ladang, maka kerajaan British pada ketika itu mencari jalan untuk mengimport tenaga buruh dari luar khususnya dari China, India dan Indonesia. Tindakan dasar pengambilan tenaga buruh dari luar dilakukan kerana atas dasar masyarakat melayu pada ketika itu tidak berminat bekerja di lombong-lombong dan ladang-ladang. Hal ini kerana masyarakat melayu lebih berminat untuk mengusahakan tanah sendiri dan tinggal di kawasan perkampungan. Oleh itu, pengambilan buruh asing daripada China diambil bagi mengusahakan kawasan lombong bijih timah dan masyarakat India diambil bagi mengusahakan ladang-ladang getah. Rentetan daripada itu maka berlakunya kebanjiran buruh asaing masuk ke Tanah Melayu.
2.0 Migrasi Cina ke Tanah Melayu
Perubahan di Tanah Melayu bukan sahaja tertakluk kepada sistem politik tetapi juga perubahan dari aspek sosial dan ekonomi. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah di Tanah Melayu telah mengundang kepada kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu atas dasar pentadibiran British pada ketika itu. Kemajuan ekonomi di Tanah Melayu telah menarik minat orang Cina untuk berhijrah. British memandang bahawa orang cina mempunyai semangat bekerja kuat, berdaya usaha dan bersifat keusahawanan. Orang Cina bukan sahaja terlibat dalam bidang perdagangan malah mereka juga terlibat dalam bidang pertanian seperti dalam penanaman lada hitam, gambir, buah pala, bunga cengkih, kelapa, tembakau, ubi kayu dan sirih. Penghijrahan bagi orang Cina ke Tanah Melayu bermula sejak abad ke-15 lagi. Mereka telah datang ke Tanah Melayu adalah untuk berdagang. Awal abad ke-19, penghijrahan orang Cina semakin bertambah. Pada pertengahan abad ke-19, perusahaan bijih timah semakin berkembang. Pertempatan orang Cina tertumpu di sekitar Lembah Kinta, Lukut, Klang, dan Sungai Ujong.
Pergolakkan politk dalaman di China yang tidak kukuh telah membuka mata mereka untuk berhijrah ke Tanah Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China sejak tahun 1644 telah mengamalkan sikap diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang tidak berpuas hati sering melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebih tegas dan kejam untuk menghapuskan perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontak. Oleh itu, ramai orang Cina terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu. Walau bagaimanapun, usaha untuk menggulingkan kerajaan Manchu menemui jalan buntu. Kerajaan Manchu kekal bertapak. Oleh itu, mereka yang terlibat dengan usaha menggulingkan kerajaan Manchu mula bertindak berhijrah ke seberang laut seperti Korea, Jepun dan negara-negara di Asia Tenggara seperti Tanah Melayu, Filipina, Indonesia dan lain-lain bagi menggelakkan diri daripada ditangkap oleh pemerintah Manchu.
Kestabilan ekonomi di Tanah Melayu serba sedikit telah mendorong kebanjiran orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh diperlukan bagi mengusahakan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu merupakan salah satu sebab peluang-peluang perniagaan yang banyak di bandar dan kawasan perlombongan. Peluang untuk menjalankan pertanian seperti di bawah Sistem Kangchu telah menggalakkan lagi penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Sistem ini diperkenalkan di Johor oleh Temenggong Ibrahim untuk menggalakan kemasukan buruh asing Cina di Johor.Di bawah Sistem Kangchu, orang Cina diberi tanah untuk mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam. Dasar pemerintahan British yang liberal telah mewujudkan keadaan politik yang stabil di Tanah Melayu. Dasar British turut menggalakkan kedatangan orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan sebagainya. Pembesar-pembesar tempatan pula menggalakkan kemasukan buruh Cina untuk mengerjakan perusahaan bijih timah.
Dasar pemerintahan British yang menerima kemasukan masyarakat imigran ke Tanah Melayu atas motif utama untuk memenuhi keperluan bahan mentah lantas tindakan pihak British ini tidak memikirkan perasaan sentimen masyarakat peribumi lokal di Tanah Melayu . Lantaran daripada keperluan permintaan terhadap tenaga buruh, maka proses penghijrahan kaum cina dilakukan melalui beberapa sistem, antaranya melalui Sistem Tiket Kredit yang diusahakan oleh kelompok kongsi gelap. Cara ini telah menimbulkan pelbagai masalah. Kegagalan sistem ini kemudiannya telah digantikan dengan Sistem Pengambilan Personel oleh majikan yang memerlukan tenaga buruh dan sistem pengambilan rumah kongsi apabila kerajaan British mula prihatin dalam hal-ehwal merekrutkan buruh-buruh Cina.
Bagi orang Cina, terdapat 3 cara mereka datang ke Tanah Melayu, iaitu melalui Sistem Tiket Kredit, melalui cara bersendirian dan melalui Sistem Kangchu. Masyarakat Cina yang datang dengan cara Sistem Tiket Kredit, kehadiran mereka dibiayai oleh seorang agen. Mereka akan terikat dengan perjanjian untuk bekerja dengan broker buruh bagi suatu tempoh masa sehingga mereka mampu menyelesaikan segala hutang piutang yang mereka tanggung. Buruh-buruh Cina dianggap berhutang dengan ejen tersebut.
Bagi yang datang melalui cara persendirian pula, kehadiran mereka dibantu oleh rakan atau ahli keluarga ataupun dengan perbelanjaan sendiri. Selain itu juga, terdapat juga migrasi masyarakat Cina yang datang ke Tanah Melayu melalui Sistem Kangchu. pula, orang Cina berpindah dan menetap kekal di Johor dam membuka ladang-ladang lada hitam, gambir, kopi, teh dan sebagainya. Kedatangan orang Cina telah menggalakkan kepada tahap perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu terutamanya di kawasan Larut, Kinta, Lembah Klang dan Sungai Ujong. Ini dapat dilihat apabila jumlah eksport bijih timah Tanah Melayu telah meningkat secara berterusan dari tahun 1850 dengan jumlah eksport 6500 tan kepada 77 ribu tan pada tahun 1937. Dari segi perniagaan pula, banyak kedai dibuka oleh orang Cina terutamanya di bandar yang terletak di kawasan perlombongan.
3.0 Migrasi Masyarakat India
Masyarakat India merupakan kelompok masyarakat kedua terbesar yang berhijrah ke Tanah Melayu ke India. Rata-ratanya masyarakat India datang dari Selatan India iaitu dari Negapatam dan Madras . Orang India pula mulai berhijrah ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama. Mereka menamai Tanah Melayu sebagai “Suvarnabumi” atau “Tanah Emas”. Namun begitu, mereka hanya berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu pada penghujung abad ke-19 akibat perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Orang India dikatakan mula berhijrah ke Tanah Melayu sejak pembukaan Pulau Pinang oleh British. Namun bilangan kehadiran mereka masih kecil. Kehadiran orang India mulai meningkat apabila kerajaan British mula menguasai Tanah Melayu. Hal ini kerana dasar kerajaan british yang memerlukan buruh asing terutamanya orang India dalam pengusahaan di ladang-ladang. Oleh yang demikian, kerajaan British tidak mengenakan sebarang sekatan untuk kemasukan orang India, malah melaksanakan sistem yang lebih bersistematik bagi memastikan bekalan buruh mencukupi.
Sebelum ladang getah diusahakan, secara besar-besaran, orang India yang berhijrah ini ditempatkan di ladang-ladang tebu di Seberang Prai, di utara Perak dan ladang kopi di Selangaor. Perkembangan perusahaan getah dan galakan daripada Kerajaan British merupakan elemen utama untuk menarik kehadiran orang India datang ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam perusahaan getah telah menggalakkan kedatangan orang India ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi yang wujud dalam sektor ini disebabkan keengganan orang Melayu untuk bekerja di ladang getah. Selain itu, dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan tenaga buruh India ialah Jabatan Kereta Api dan Jabatan Kerja Raya turut menarik kehadiran orang India ke Tanah Melayu. Seterusnya, peluang pekerjaan bagi golongan menengah di Tanah Melayu turut dipenuhi oleh orang India. Pada tahun 1920-an, kestabilan politik di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang India. Di samping itu, adanya koordinasi antara Kerajaan British di Tanah Melayu dengan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi kemasukan India ke Tanah Melayu. Kejayaan orang India yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemsukan lebih ramai orang India.
Kebanjiran migrasi masyarakat India, dijalankan 2 cara iaitu melalui Sistem Buruh Kontrak (1820-1910) dan Sistem Kangani (1898-1938). Sistem buruh kontrak dikendandalikan oleh firma pengambilan swasta yang berpusat di Utara India di Madras dan Nagapatnam. Melalui sistem ini, pemilik ladang akan membuat pesanan bagi buruh melalui seorang ejen di India. Ejen ini akan pergi ke kampung-kampung untuk mengumpulkan buruh India. Tambang pelayaran mereka dibiayai oleh majikan yang membuat pesanan. Setelah sampai di Tanah Melayu, mereka akan menandatangani kontrak untuk bekerja selama 5 tahun dengan gaji yang ditetapkan. Pekerja-pekerja ini biasanya dilayan dengan buruk. Buruh kontrak dianggap murah dan boleh dipindahmilikan buruh berkenaan kepada majikan lain dengan mudah. Gaji yang dibayar kepada buruh sekitar tahun 1860-an iaitu sebanyak 9 sen sehari dan pada tahun 1900-an bayaran gaji adalah sebanyak 16-18 sen sehari.
Sistem Kangani mula wujud pada tahun 1860-an akan tetapi sistem ini mula penting antara tahun 1880-1890 apabila tanaman kopi menjadi penting di Tanah Melayu. Kangani ialah mandur atau penyelia di sesebuah ladang getah. Melalui Sistem Kangani, majikan yang ingin mendapat buruh dari India akan menghantar seorang Kangani dari ladangnya ke India untuk mendapatkan buruh dari kampung halaman Kangani itu . Kangani itu akan dibayar komisen mengikut bilangan pekerja yang diambil dan dia sendiri pula dikehendaki membayar tambang dan perbelanjaan lain bagi buruh-buruh itu sehingga ketibaan mereka di ladang. Pada kebiasanya pekerja dilayan dengan baik. Kemasukan Sistem Kangani lebih di sukai kerana tenaga buruh adalah murah serta bebas daripada kawalan pemeriksaan kerajaan. Bagi menjaga kebajikan buruh-buruh ladang, langkah mewujudkan pelbagai kemudahan dilaksnakan memastikan keselesaan buruh asing. Kemudahan yang disediakan sama seperti yang terdapat di kampung halaman buruh-buruh dari India itu.
Kemasukan orang India telah menyebabkan pembukaan lebih banyak kawasan ladang getah. Buktinya, pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar ladang getah di Tanah Melayu tetapi pada tahun 1940, angka ini telah meningkat menjadi 3.5 juta ekar. Berbanding dengan masyarakat lain yang berhijrah ke Tanah Melayu, satu kelebihan diberikan kepada masyarakat India. Pada kebiasaannya tenaga kerja yang masuk ke Tanah Melayu akan bekerja sebagai buruh tetapi bagi masyarakat India, selain dijadikan buruh di ladang-ladang terdapat juga ada di antaranya dilantik dalam bidang profesional sebagai guru, doktor, kerani dan sebagainya.kebanyakan golongan terpelajar ini datangnya terdiri daripada kaum Tamil Ceylon (Sri Lanka). Pada masa itu, negeri-egeri yang berada di bawah pengaruh British mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan British di India dan Ceylon terlebih dahulu memperoleh pengalaman dalam bidang ini dan dapat pelajaran yang sesuai dengan kehendak pemerintah British pada masa itu. Hal ini demikian kerana masyarakat India telah didedahkan dengan berbahasa Inggeris dan selok belok pentadbiran kerajaan British. Oleh yang demikian maka tidak hairanlah sekiranya masyarakat India dijadikan golongan profesional di Tanah Melayu. Kemasukan buruh India adalah dasar utama kerajaan British yang mahu mengimbangi polarisasi kaum dengan buruh Cina. Oleh itu, kerajaan British telah menawarkan bayaran gaji yang tinggi bagi menggalakan kemasukan buruh India ke Tanah Melayu.
4.0 Migrasi Masyarakat Indonesia
Selain daripada dua kelompok utama seperti orang Cina dan India, terdapat satu lagi kumpulan imigran iaitu orang Indonesia turut berhijrah ke Tanah Melayu. Orang Indonesia telah berhijrah ke Tanah Melayu sebelum pemerintahan British di Tanah Melayu lagi. Mereka datang berhijrah melalui agen atau datang sendiri. Sekirannya kehadiran mereka melalui agen, syarikat berkenaan bertanggungjawab mengendalikan kemasukan mereka dengan menguruskan kesemua hal kemasukan. Tenaga buruh yang datang melalui cara ini dikenli buruh kontrak dan kos menampungnya adalah tinggi. Hal ini menyebabkan majikan di Tanah Melayu kurang berminat untuk mengambil buruh yang datang melalui cara ini. Selain itu, ada juga yang datang ke Tanah Melayu melalui cara sendiri. Mereka datang berbekalkan modal sendiri atau daripada keluarga. Masyarakat Indonesia terdiri daripada orang Bugis, Jawa dan Minangkabau.
Namun, pada penghujung abad ke-19, penghijrahan masuk orang Indonesia ke Tanah Melayu semakin meningkat. Hal ini demikian kerana masalah politik, ekonomi dan sosial yang berlaku di Indonesia. Selain itu, komposisi peningkatan jumlah penduduk Indonesia terutama dari Pulau Jawa dan Sumatera telah bertambah dengan pesat menyebabkan kemiskinan, kebuluran dan kemerosotan taraf hidup rakyat Indonesia semakin merosot. Di samping itu juga, terdapat tekanan politik dalaman oleh Belanda telah mendorong kemasukan orang-orang Indonesia ke Tanah Melayu. Sebagai contoh, Sistem Kultur (1830-1870) yang dikenakan terhadap orang Jawa menyebabkan rasa kurang senang hati orang Jawa menyebabkan mereka berhijrah ke Tanah Melayu. Penghijrahan oarang Indonesia ke Tanah Melayu atas dasar kerajaan British dalam memberi pinjaman untuk membuka tanah pertanian. Di samping itu juga, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur bagi menarik minat orang Indonesia untuk datang berhijrah ke Tanah Melayu. Kehadiran migrasi daripada orang Indonesia telah bertapak di kawasan pantai barat seperti di Johor (Muar, Batu Pahat, Pontian), Selangor (Klang, Tanjong Karang,Meru) dan Perak (Bagan Dato,Teluk Intan).
5.0 Kesan Migrasi dalam Sosio-Politik di Negeri-Negeri Melayu.
Migrasi luar yang masuk ke Tanah Melayu serba sedikit telah menyebabkan berlakunya asimilasi dalam sosio-politik di negeri-negeri Melayu. Ini dapat dilihat wujudnya asimilasi apabila kumpulan minoriti perlu menguasai kebudayaan kumpulan majoriti contohnya. Ini bertujuan untuk memudahkan urusan interaksi antara kumpulan minoriti dan kumpulan majoriti. Sebagai contohnya asimilasi bahasa, pakaian, dan adat resam.
Kedatangan kaum imigran ke Negeri-Negeri Melayu telah mewujudkan satu demensi baharu dalam konteks dunia melayu. Kepelbagaian kebudayaan, mentaliti, dan politik masyarakat luar dapat dilihat hasil daripada penghijrahan ini. Kepelbagaian hasil daripada integrasi sosial masyarakat luar dan dalam ini dikongsi bersama dalam satu negara. Hasil daripada ini jugalah melahirkan akulturasi yang satu bagi memudahkan interaksi antara satu sama lain. Secara tidak disedari integrasi sosial iaitu proses menyatupadukan berbagai-bagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghapuskan perbezaan dan identiti masing-masing . Maka isu sentimen perkauman dapat diminimumkan. Integrasi sosial penting dipupuk agar pertumpahan sejarah darah 13 Mei1969 tidak berulang tayang kembali.
Kebudayaan nasional lahir daripada gabung jalin antara budaya apabila berlakunya interaksi dan integrasi dalam sesuatu kelompok masyarakat. Ini dapat dilihat dengan wujudnya budaya nasional yang mulai berkembang. Semangat perkauman imigran Cina yang mendalam diperkasakan pula dengan ideologi komunis. Ideologi ini didominasi oleh kaum cina kerana mereka telah dibekalkan dengan sentimen dan spiritual tersebut dalam Parti Komunis Cina. Pendekatan British yang longgar dalam membanteras kemasukan komunis dalam kalangan kaum imigran sebenarnya mengharapkan tindak tanduk masyarakat lokal menentang pengaruh komunis. Oleh yang demikian, langkah penyatupaduan kaum dapat diterapkan sekiranya terdapat interaksi antara kaum.
Selain itu, kesan daripada migrasi luar telah menyebabkan berlakunya pembahagian bidang kerja dan tempat tinggal mengikut kelompok kaum. Masyarakat Melayu bercucuk tanam sara diri dan melakukan kerja-kerja kampung. Oleh itu, masyarakat melayu hanya tinggal di kampung sahaja. Orang cina bekerja dan mengusahakan di lombong-lombong bijih timah. Ramai di antaranya menetap di kawasan bandar manakala orang India bekerja di ladang-ladang dan tinggal di kawasan ladang. Sekiranya diteliti gambaran yang dipaparkan pada abad ke-19 ini masih releven pada era kini. Masyarakat tempatan masih dianaktirikan apabila berlakunya kebanjiran pendatang asing ke Malaysia. Sebagai contoh dalam bidang pekerjaan pada masa kini terutamanya dalam bidang profesional seperti pakar perubatan, arkitek, peguam dan sebagainya, kita masih lagi bergantung dan berharap kepada negara asing dalam memenuhi ruang dan peluang pekerjaan yang sepatutnya diisi oleh orang tempatan. Secara tidak langsung kebanjiran pekerja asing akan menyebabkan ketidakseimbangan penduduk tempatan dengan orang asing seperti yang penah berlaku pada abad ke 19. Sekiranya lambakan kemasukan tenaga kerja asing masuk ke negara tanpa sekatan, tidak mungkin sejarah pada abad ke 19 iaitu jumlah komposisi kaum masyarakat asing mengatasi jumpah komposisi masyarakat tempatan. Secara tidak langsung ini akan mewujudkan satu polemik kejutan budaya asing dalam konteks sosial.
Di samping itu juga kesan posif daripada kemasukan buruh asing ke Tanah Melayu. Jika diamati kehadiran masyarakat asing serba sedikit telah mewarnai kepelbagaian dialek bahasa di Tanah Melayu. Ini dapat dilihat apabila kemasukan buruh daripada Cina bertutur dalam pelbagai versi dialek seperti Hakka, Hokkien, Cantonis dan sebagainya. Bagi buruh India pula terdapatnya kepelbagaian dialek seperti Tamil, Telegu dan sebagainya. Bagi Indonesia pula kemasukan dialek seperti Bugis, Jawa, Banjar dan sebagainya dikenalpasti. Secara tidak langsung kesan daripada ini wujudnya kepelbagaian corak bahasa. Oleh yang demikian, penerapan bahasa melayu digunakan bagi memudahkan proses interaksi sesama mereka.
Dari aspek pembentukan masyarakat baharu pula, kesan daripada kemasukan
migrasi luar telah terbentuknya masyarakat baharu seperti peranakan cina, India-Muslim, Melayu-Arab, Serani dan peranakan Jawi. Kebanyakan daripada masyarakat asing yang datang ke Tanah Melayu sebagai buruh rata-ratanya akan terus menetap di Tanah Melayu. Oleh itu, satu pembentukan institusi kekeluargaan perlu dibina. Bagi memenuhi hasrat demikian, buruh asing telah berkahwin dengan masyarakat tempatan. Maka terbentuklah satu entiti masyarakat baharu. Hal ini diteliti terjadi apabila berlakunya aspek biologi dalam perkahwinan campur antara masyarakat temapatan dengan masyarakat asing.
Selain itu, kehadiran masyarakat asing ini telah membentuk kepada era pendidikan berteraskan kaum atau vernakular. Sebelum ini hanya institusi pondok sahaja yang ada bagi mendapat segala ilmu pengetahuan . Sistem pondok yang merupakan sistem tertua di Tanah Melayu turut mengalami perubahan pembaharuan dengan lahirnya sistem madrasah yang lebih bersistematik. Selain itu, wujudnya sekolah Cina dan Tamil bagi memenuhi tuntutan pendidikan kepada masyarakat asing. Segala sukatan dan tenaga pengajar dibawa daripada India dan Cina. Pada konteks masa hari ini, aspek pendidikan juga diberi perhatian kepada masyarakat asing yang berkhidmat di Malaysia. Sebagai contoh wujudnya sekolah international bagi memenuhi keperluan pendidikan kepada anak-anak tenaga kerja yang bekerja di kedutaan khususnya. Institusi pendidikan untuk anak-anak pekerja asing bagi menarik minat mereka untuk datang ke dalam sesebuah negara tersebut lantas perlu untuk mencapai mentaliti pendidikan kelas pertama.
Kedatangan imigran ini bukan sahaja mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu, namun mereka juga memberikan banyak sumbangan terhadap pelbagai sektor terutamanya dari segi perkembangan ekonomi di Tanah Melayu. Sebagai contohnya kehadiran orang Indonesia ke Negeri-Negeri Melayu telah membuka satu demensi baharu ke arah menyumbangkan tenaga dalam perusahaan getah dan bijih timah di samping dalam pertanian seperti padi, kelapa, dusun buah-buahan dan sebagainya. Kecenderungan dalam mengusahakan pertanian yang sama dengan tempat asal mereka adalah pendorong kepada kedatangan mereka ke Tanah Melayu. Imigran Cina, dan Indonesia yang masih tinggal membentuk satu masyarakat majmuk. Kaum-kaum ini berpisah bukan sahaja dari segi bangsa tetapi juga bahasa, agama, kepercayaan, tempat kediaman dan sebagainya. Walau bagaimanapun, mereka masih dapat hidup dengan aman damai dan keadaan ini telah menggalakkan perkembangan ekonomi di Tanah Melayu.
Kesan daripda perkembangan ekonomi ekoran daripada penghijrahan masyarakat luar telah mewujudkan kemajuan dalam sistem perhubungan dan pengangkutan seperti pembinaan jalan raya, landasan kereta api, pelabuhan dan telegraf. Kemudahan-kemudahan ini disediakan untuk memudahkan dan mempercepatkan penghantaran bijih timah dan getah ke pelabuhan untuk dieksport.
6.0 Kesimpulan
Sesungguhnya, bertitik tolak daripada kehadiran masyarakat asing ke Tanah Melayu, secara tidak langsung dapat meningkatkan ke arah perkembangan dari aspek politik, ekonomi, dan sosial. Kehadiran buruh asing telah membawa kepada perubahan stuktur sosio-politik di Tanah Melayu. Namun, terdapat juga kesan negatif daripada kehadiran mereka ke Tanah Melayu. Kelonggaran sistem pentadibran yang menyebabkan kebanjiran masyarakat asing masuk serba sedik telah menyebabkan jumlah kompisisi mereka melebihi jumlah masyarakat tempatan. Oleh itu, perkembangan interaksi, integrasi dan asimilasi antara masyarakat asing dengan masyarakat tempatan perlu bagi mengeratkan hubungan lantas dapat meninimumkan permasalahan antara kaum.
Bibliografi
Ahmad Tarmizi Talib, (2006). Hubungan etnik di malaysia.
Kuala Lumpur: Oxford Fajar.
Azmah Abdul Manaf, (2001). Sejarah sosial masyarakat malaysia.
.Kuala Lumpur: Utusan Publications Sdn. Bhd.
Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, (1993). Sejarah malaysia.
Kuala Lumpur.
Ishak Bin Saat,(2005). Sejarah sosial masyarakat malaysia.
Kuala Lumpur :Karisma Publications Sdn. Bhd.
_____________(2007) Kamus dewan bahasa dan pustaka edisi keempat.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Isa Othman, (1990). Sejarah malaysia (1800-1963).
Kuala Lumpur :Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd
Mok Soon Sang (2001). Pendidikan di malaysia.
Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mohd Ridzuan Asli, (1993). Pemberontakan bersenjata komunis di malaysia.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.