Sinopsis
Kamarul Azam meminta kebenaran daripada ayahnya, iaitu Encik Razali dan ibunya Puan Katijah untuk mengikuti perkhemahan di Tanjung Pangku, Johor. Dia dan beberapa anggota pengakap dan pandu puteri sekolah iaitu Razi, Zanawati, Lina Lim, dan Rendera mengikuti perkhemahan itu untuk mengambil Ujian Kelas Pertama Pengakap dan Pandu Puteri. Kebetulan pada hari itu, Encik Razali akan mengiringi Menteri Pertanian sebagai wartawan kehormat rangka lawatan ke negeri-negeri di utara Semenanjung. Malangnya, kapal terbang yang dinaiki oleh Razali yang berlepas dari Lapangan Terbang Bayan Lepas telah dirampas oleh pengganas. Kapal terbang itu membawa sebanyak 93 penumpang bersama tujuh orang kakitangan.
Semasa aktiviti perkhemahan, Azam melihat kejadian kapal terbang meletup di Udara. Dia tidak tahu bahawa ayahnya turut berada di dalam kapak terbang tersebut. Azam oleh Razi yang mencuba pergi ke tempat kejadian itu telah diculik oleh beberapa lelaki bersenjata yang dipercayai terlibat dalam rampasan tersebut. Mereka membawa Azam dan Razi ke tengah laut lalu membiarkan motobot mereka karam.
Azam dan Razi hanyut di tengah laut hingga pengsan. Mereka kemudiannya diselamatkan oleh Pak Widodo Samsi, nelayan dari Pulau Rangsang, Sumatera Timur. Dengan bantuan Antik, anak Pak Widodo, Azam dan Razi berjaya pulang ke Johor. Azam dapat memberikan penghormatan terakhir keapda jenazah arwah ayahnya. Azam berharap agar penjenayah yang merancang rampasan itu akan segera ditangkap.


Tema
Tema yang terdapat dalam novel ini ialah kegigihan, ketabahan, keberanian dan kecekalan hati seorang anak remaja menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Kamarul Azam ialah seorang pelajar belasan tahun. Semasa dia pergi berkhemah di Tanjung Pangku, Johor, kapal terbang yang dinaiki oleh ayahnya telah dirampas. Azam telah melihat kejadian letupan kapal terbang di udara. Azam dan Razi pergi ke tempat kejadian dan diculik oleh beberapa orang pengganas. Mereka berani berhadapan dengan pengganas. Apabila mereka dibiarkan oleh pengganas di tengah laut dalam motobot yang akan karam, mereka berusaha gigih untuk hidup. Selepas diselamatkan dan dibawa balik ke Pulau Rangsang, mereka berusaha gigih untuk balik ke Malaysia. Selepas balik ke Malaysia, Azam menerima berita kematian ayahnya dengan ketabahan dan kecekalan hati. Azam telah menghadapi cabaran hidup dengan penuh kegigihan, ketabahan, keberanian dan juga kecekalan hati.


Persoalan

1. Persoalan Kecuaian : Contohnya pihak Syarikat Angkasa Malaysia (SAM) tidak dapat mengesan sejak awal kehadiran para perampas dan bahan letupan yang dibawa mereka apabila menaiki kapal terbang.

2. Persoalan keamanan negara dan keselamatan rakyat : Contohnya pihak berkuasa sesebuah negara mempunyai tanggungjawab menjaga keamanan sementara pihak Polis menjalankan tanggungjawab dan hal-hal kecemasan yang berlaku bagi mempastikan keamanan dipelihara.

3. Persoalan tanggungjawab sebagai pemimpin kepimpinan : Contohnya Azam sebagai ketua pengakap dapat menunjukkan kewibawaannya sebagai ketua kepada rakan-rakannya.

4. Persoalan ketabahan : Contohnya Puan Katijah tabah menerima berita kemalangan yang menimpa suaminya, Encik Razali


Watak dan Perwatakan

Watak Utama
1. Kamarul Azam
- Anak sulung Encik Razali dan Puan Katijah.
- Abang kepada Kamarul Azmi dan Liza.
- Seorang yang melakukan tanggungjawab terhadap Allah (bersembahyang)
- Dia dilantik menjadi ketua petrol untuk Ujian Kelas Pertama pengakap.
- Memiliki sifat kepimpinan yang tinggi.
- Seorang yang pintar dan cekap bertindak untuk membuat keputusan.
- Seorang ketua yang bertanggungjawab.
- Memiliki sifat tabah yang kuat serta berani menghadapi cabaran.
- Sayang dan kasihkan keluarga kerana walaupun belum benar-benar pulih dia sanggup pulang ke Malaysia untuk bersama-sama ibunya yang sedang berduka.
- Seorang remaja yang aktif, meminati bidang penulisan, ekoran itu suka memerhati dan mencatat.


Watak Sampingan

1. DSP Yazid

- Adik kepada Encik Razali, bapa saudara kepada Azam, Azmi dan Liza.
- Berjawatan sebagai Penolong Penguasa Polis Johor Baharu.
- Seorang anggota polis yang cekap dan bertanggungjawab.
- Mesra dengan anak-anak saudaranya.
- Sahabat baik kepada Fairuz Khan dan dua orang mangsa iaitu, Saiful, pembantu juruterbang dan Jamaliah, seorang pramugari.
- Bersifat emosional ketika mengenang abang dan rakan-rakan yang terkorban tetapi dalam waktu yang lain bersifat pemujuk kepada kakak ipar dan anak-anak saudaranya.
- Mempunyai isteri, Anna dan beberapa orang anak. Hasnul anak yang bongsu.

2. Encik Razali
- Bapa kepada Azam, Azmi dan Liza, suami kepada Puan Katijah, Wartawan Kehormat Menteri Pertanian, bertanggungjawab dan ambil berat tentang anak-anak, berpesan kepada Azam supaya menjaga diri, salah seorang mangsa nahas kapal terbang. Bijak bertindak/ cepat


3. Puan Katijah
- Ibu kepada Azam, Azmi dan Liza, isteri kepada Encik Razali. Bertanggungjawab sebagai seorang suri rumah tangga, amat sugul kerana kematian suaminya tetapi tabah menghadapi dugaan.


4. Kamarul Azmi
- Adik kepada Azam, mesra dengan bapa saudaranya, DSP Yazid, petah bercakap, boleh diharap untuk meminta bantuan, bersifat ingin tahu serta suka melayan perasaan dan berkhayal.


5. Liza
- Adik bongsu kepada Azam serta petah bercakap.
6. Mohammad Razi Osman
- Cekap mengendalikan motorbot, menurut perintah ketua, seorang ahli pengakap, menunaikan sembahyang, pandai bergurau serta rapat dengan Azam.

Plot

Permulaan
Azam dan rakan-rakannya menaiki motorbot untuk berkhemah di Tanjung Pangku. DSP Yazid datang ke rumah kakak iparnya, Puan Katijah dan memberitahu bahawa ada sebuah kapal terbang telah dirampas oleh pengganas. Walau bagaimanapun, dia belum mendapat pengesahan tentang berita itu dan masih belum pasti sama ada abangnya, Encik Razali turuu berada dalam kapal terbang itu.


Perkembangan
DSP Yazid menerima maklumat bahawa kapal terbang yang dinaiki oleh Encik Razali yang menemani Menteri Pertanian melawat negeri-negeri di utara Semenanjung tidak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang seperti yang dijadualkan. DSP Yazid mendapat tahu bahawa dua letupan kecil telah berlaku di ruang udara dan di darat yang dikenal pasti berhampiran dengan Tanjung Pangku, Johor.


Klimaks
Letupan yang melipatkan kapal terbang itu turut menarik perhatian Azam dan Razi untuk melihat kejadian tersebut. Malangnya, mereka telah ditangkap oleh sekumpulan pengganas dan dibawa ke tengah laut. Akhirnya, motorbot mereka dibiarkan karam dan mereka pula hampir lemas sehingga pengsan.


Peleraian
Rakan-rakan Azam yang lain, iaitu Zanawati, Rendera, dan Lina Lim telah diselamatkan oleh pihak polis. Azam dan Razi pula diselamatkan oleh Pak Widodo dan anaknya, Antik. Pak Widodo membawa mereka pulang ke rumahnya di Pulau Rangsang, Sumatera Timur. Dengan pertolongan Antik, Azam dan Razi telah menaiki motorbot dari Pulau Rangsang untuk pulang ke Johor. Di Johor, semua mangsa tragedi dikebumikan di dalam satu lubang besar pada 9 Disember 1977 kerana semua identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti. Azam teringat akan pesanan terakhir arwah ayahnya agar dia menjaga keluarganya.

Latar

Latar Tempat
- Peristiwa di dalam novel ini berlaku di negeri Johor di tempat-tempat seperti di rumah Azam, di ibu pejabat Polis Johor Bahru, Hotel Gentre, tahah Perkuburan Jalan Kebun Teh, kawasan sepanjang pantai Selat Johor termasuklah Tanjung Pendas, Tanjung Pangku dan di Balai Polisnya serta Pulau Rangsang di Sumatera Timur.


Latar Masa
- Siang hari
- Bermula sejak Azam pulang dari mesyuarat pengakap pada hari Ahad ketika cuti persekolahan. (3 Disember 1977).
- Waktu pengembaran bermula esoknya, sementara malamnya pula berlaku kejadian kapal terbang terhempas (4 Disember 1977) dan kehilangan Azam dan Razi.
- Hari ketujuh (9 Disember 1977) Azam dan Razi pulang ke Johor bersama Antik serta sempat menghadiri upacara pengkebumian beramai-ramai mangsa kapal terbang terhempas.


Latar Masyarakat
- Masyarakat Melayu, Cina dan India yang bersatu hati dan bekerjasama seperti digambarkan oleh watak-watak remajanya.
- Masyarakat majmuk yang bersatu padu dan bertolak ansur digambarkan ketika upacara pengkebumian mangsa-mangsa.

Gaya Bahasa

1. Penggunaan Bahasa Asing
- Bahasa Inggeris, contoh : Chopper (m/s 1), mini market (m/s 5), bionic boy (m/s 5), terror (m/s 16), sandwich (m/s 16) dan lain-lain.
- Bahasa Indonesia, contoh : enggak, dong (m/s 71)
2. Penggunaan Peribahasa
- contoh : i) orang mengantuk disorongkan bantal (m/s 23)
ii) Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis (m/s 98)
iii) Malas berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan (m/s 99)
iv) Simile ( kata-kata perbandingan dengan penanda kata seperti bagai, macam dan lain-lain.)

Nilai Murni dan Pengajaran

Nilai Murni
1. Kasih sayang : wujud dalam keluarga Azam.
2. Baik hati : DSP Yazid sebagai Penolong Penguasa Polis, juga sebagai adik ipar dan bapa saudara kepada anak-anak buahnya.
3. Kerjasama : wujud antara Azam, Razi, Rendera, Lina Lim, Zanawati dan Antik.
4. Keberanian : Keluarga Pak Widodo sanggup menyelamat dan menjaga Azam dan Razi sehingga tersedar dari pengsan hanyut yang terlalu lama.


Pengajaran
1. Manusia hanya boleh merancang tetapi Tuhan yang menentukan : ini jenis dalam kejadian rampasan kapal terbang.
2. Hidup perlu bersatu padu dan bekerjasama bagi membentuk masyarakat yang kuat terutamanya bagi masyarakat majmuk : ini jelas antara Azam dan rakan-rakannya serta tindakan bergilir-gilir untuk upacara keagamaan pelbagai kaum ketika upacara pengkebumian mangsa-mangsa.
3. Hidup perlu tabah menghadapi dugaan : Azam, ibu serta adik-adiknya serta DSP Yazid tabah menghadapi peristiwa kematian orang yang mereka cintai.
4. Pesalah perlu dihukum terutamanya yang mencedera dan mengambil nyawa orang lain : rakan-rakan perampas perlu dicari dan dihukum seperti mana kehendak Azam.


terima kasih kerana sudi membaca